Friday, January 12, 2018

Mangsa Banjir Di Rompin Meningkat

MANGSA banjir, Ahmad Zaini Kechik secara sukarela berkhidmat memindahkan mangsa banjir untuk ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Temai, Pekan. - Foto Mohd Rafi Mamat

KUANTAN: Jumlah mangsa banjir di daerah Rompin meningkat kepada 103 mangsa daripada 28 keluarga, setakat jam 8 pagi ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Kolonel (PA) Zainal Yusoff, berkata mangsa ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tekek yang menempatkan 64 orang dan Dewan Orang Ramai Leban Chondong (39 orang).
"Hujan lebat sejak awal pagi semalam memaksa semua mangsa dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air.
"Ini menyebabkan jumlah mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 357 mangsa daripada 95 keluarga yang ditempatkan di tujuh PPS di Rompin dan Pekan, berbanding 318 mangsa daripada 81 keluarga, malam tadi," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, setakat ini, seramai 254 orang daripada 67 keluarga ditempatkan di lima PPS di Pekan.
"Lima PPS itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Temai yang menempatkan 93 orang, Pusat Pemindahan Pulau Manis (75 orang), Dewan Serbaguna Tanjung Pulai (39 orang), SK Acheh (9 orang) dan Pusat Pemindahan Kampung Lamir (38 orang)," katanya.
Zainal berkata, APM turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk memastikan kelancaran operasi pemindahan di Rompin
"Wakil daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Rompin turut berada di pusat pemindahan bagi memberikan bantuan kepada penduduk," katanya.
Sementara itu, berdasarkan laman web infobanjir.water.gov.my sehingga jam 8 pagi, hanya Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan melepasi tahap amaran atau jingga dengan bacaan 10.03 meter (10.30 meter paras bahaya).
sumber: Berita Harian, Oleh Shahrinnahar Latib.


No comments:

Post a Comment